Thursday, May 21, 2009

minta sesaat lagi

minta sesaat lagi,
kerana seluruh nafas
selama hidup
telah tertumpah dan terbazir.

minta sesaat lagi,
supaya sempat
aku redhakan
satu persatu getir.

minta sesaat lagi,
untuk aku maknakan
sia-sia nyawaku
dahulu.

minta sesaat lagi,
kau perlu tahu
milik siapa sebenarnya
hati aku.

i wrote this last year, with an imagination of a couple living in denial coming clean

Tuesday, May 19, 2009

amuk gadis kerasukan

dia bergelut sama malam yang paling beku dan kejam,
dia bertangkis sama subuh yang paling menghambur,
dia nekad.

dia berebut sama siang yang paling terik dan mengancam,
dia berpengkes sama setiaphari-setiaphari yang paling menghancur,
dia nekad.

harimau, naga dan rajawali pun tidak mampu menggodak tekadnya.
dia mahu merempuh gunung batu dan menapak di muka air laut beracun.
dia hendak menempik pada bongkas ais yang sedang bersedia untuk jatuh ke tulang rusuknya.
ini amuk yang menakutkan, wahai tuan-tuan, sepanjang kurun.

sehinggalah dilayangkan sebutir itu yang seperti bayu bening
pantas ke pipinya yang begitu mulus tapi tidak kering dek air mata.

ah.
betapa dia benci di setiap terletaknya bibir si lelaki itu di permukaan antara hujung mata dan bibirnya,
semuanya kembali menjadi sentosa.

celaka.

Tuesday, May 12, 2009

selamat hari ibu.

bunyi mendesir diterpanggangnya bawang putih
harum membersin ditertumisnya rencah lada kering
telah lama mati sekali dengan terkatupnya dapur.

aku tersedar untuk kali ke lapan ribu,
bunda sudah lama berumah di kubur.

Saturday, May 09, 2009

maaf lagi dan lagi

maaf,
tidak aku tidak lagi
punya hati lagi.

maaf,
memang aku memang lagi
punya pacar gelap lagi.

terjumpa puisi lama dalam draft.



Thursday, May 07, 2009

semboyan

lagu ini adalah untuk kita semua dengarkan beramai-ramai
lagu ini adalah untuk kita dengarkan dan ambil perhatian
lagu ini untuk kita bangkitkan
lagu ini untuk kita jeritkan

lagu ini aku hendak panggilkan suatu semboyan

untuk sesiapa yang pernah hidup merasa ditekan, merasa dikambus
untuk sesiapa yang pernah mati bukan sekali berkali-kali

wahai kawan-kawan,
wahai pakcik-pakcik,
wahai makcik-makcik,
wahai tuan-tuan;

pernahkah kamu merasakan apa di dalam hati yang kau tekankan?
berapa ramai manusia ada di keliling kamu membeda-beda?

"siapa yang itu?
"
"siapa yang ini?"
"siapa yang sana?"
"siapa di sini?"

kau rasakan begitu marah
kau rasakan sudah tak gagah
kau rasakan sangat sedih
kau rasakan sangat pedih
buka langkah jalan megah
jangan gentar halilintar

buka langkah jalan megah
jangan takut awan ribut

buka mata buka telinga
dengar saja suara kita
kadang-kadang kita rasakan
semua yang telah kita lakukan
sudah terlalu sempurna --

tapi kenapa saja
mengapa saja
selalu salah di mata mereka?

kita katakan kita mahu ini
kita katakan kita mahu itu
tapi aku hendak tanya kenapa cuma di dalam hati kamu?

wahai semua, bangkit sekarang!
sampai bila hendak kalah di perang?

bila-bila akan mati
tapi adakah hari ini?
buka langkah jalan megah
jangan gentar halilintar
buka langkah jalan megah
jangan takut awan ribut

buka langkah jalan megah
jangan gentar halilintar
buka langkah jalan megah
jangan takut awan ribut

buka mata dan telinga
jangan takut pada semua
buka langkah jalan megah
jangan takut awan ribut




puisi ini adalah untuk kita2 yang pengecut untuk menjadi apa yang kita mahu jadi. lagu ini adalah hasil kimia saya, tri, syafiq dan wani ardy yang tidak tidur sepanjang malam melayan denting ini. karya ini benar2 karib dengan kami. untuk video, klik sini.

Wednesday, May 06, 2009

telah juga sudah selesai

hey kekasih, lihat sini di jari aku ada apa
ini hati engkau yang semalam kau pesan
untuk aku perhati hati-hati dan jaga-jaga;

dan itu, telah aku lakukan.

hey kekasih, mari sini rapat sedikit pada aku
ini masih berdarah, katamu, baru dikeluarkan
untuk aku pertonton tiap saat peliharakan itu;

dan itu, telah juga aku lakukan.

hey kekasih, dekat sini kerana aku ada tanya
inikah hati engkau yang masih merah 'tuk disimpan
untuk aku perhati pertonton buat selama-lama?

kerana itu, telah juga sudah aku lakukan.

hey kekasih, jawab sini dan jangan engkau kaku
ini yang kau sebut suci demiku apakah mainan
untuk aku kau olok-olok, bodoh-bodoh, batu-batu?

kerana itu, telah juga sudah selesai aku lakukan.

ini di jari aku bukan hati merah berdarah suci
cuma tembikar, bersalut getah manggis warnanya.
lihat sini, mari sini, dekat sini, jawab sini;

kerana setelah sudah selesai aku lakukan semua,
ku mahu tahu mana sebenarnya kau punya hati.