Monday, December 29, 2008

sendiri kecuali

disebat birat di likat pekat malam dakwat,
dan tetap, pekik lolong meraung menggaung semata,
dengan tiada telinga menangkap serap menghinggap deria.

dia sendiri.

digelegak ke kerak kepala ke hilang serak suara,
dan tetap, jerit rayu sayu mendayunya ditelan dunia,
dengan tiada mata menoleh memboleh simpati rasa.

dia sendiri.

hilang gemilang terbilang dahulu megahnya,
kerna di situ, di bawah itu bersatu dengan batu,
dengan tiada telinga dan mata memberi bantu.

dia sendiri.

sendiri,
kecuali dengan tuhannya.

Sunday, December 28, 2008

sebentar

sebentar.
aku sedang memenuhkan gelas di tanganmu
dengan secamca lagi air jiwa ini
supaya dapat kau gemerincingkan ketika kalian
mengucap selamat cinta di teduhan bahagia
di terlaganya gelas-gelas itu nanti.

sebentar.
sedikit saja lagi perlu aku perahkan untukmu
dan pasti habis juga setiap mimpi
yang pernah kita lorekkan di tinggi awan
nan dahulu meredup keji dusta dunia
yang rupanya sememangnya kau sendiri.

sebentar.
bila penuh gelas ini dengan peluh nyawaku
mulakanlah doa dikekal al-rabbi
usah dirisau campingku di tulang rawan
di sini teratur manusia menanti saya
percayalah, aku tidak mungkin mati.

sebentar.
bertahun telah aku sebentarkan sabar.
sekarang aku bilang,
sebentar.

imaginasikan kamu sedang bikin toast untuk kekasih lama kamu dengan kekasih barunya. pedih.

Thursday, December 18, 2008

aku ada tongkat sakti

aku ada tongkat sakti,
diberi ikhlas sang dewi,
tapi cuma ada satu
hajat dikenan untuk aku.

aku ada tongkat sakti,
semua mau tumpang turi,
diceceh kisah sedih belaka,
hidup siksa rasa neraka.

aku ada tongkat sakti,
siapa harus aku membagi?
kalau ranapnya sama,
siapa layak siapa agaknya?

aku ada tongkat sakti,
maka harus berhati-hati,
ku ukur siapa sahabat aku,
ku timbang juga seteru-seteru.

aku ada tongkat sakti,
hendak adil, serasa mati,
diunjuk si polan, si dia sayu
dihulur si dia, si polan rayu.

aku ada tongkat sakti,
ku buatkan hajat diri sendiri,
"berikan bahagia semua jelata,
biar sentosa, biar saksama"

aku ada tongkat sakti,
namun mungkin tiada sakti,
kerana yang jadi tetap tiada,
masih yang sama, masih yang sama.

"aku ada tongkat sakti...
apakah aku ditipu sang pari?"
dia muncul dan memancar jelas
menghalus bahasa, memberi balas.

"ku beri engkau tongkat sakti,
kau minta itu, ku telah beri,
bahagia itu pada setiap pagi,
yang tidak tuhan biar kau mati"

nota kaki:
tumpang turi = menumpang tuah

Monday, December 01, 2008

kalaulah

kalaulah
ada perkataan yang lebih cantik dari indah
mau aku pinjam dan tampalkan di wajah.

kalaulah
dapat aku kisahkan dari hati yang bahagia
rasa penuh, rasa sempurna dengan adanya mereka

kalaulah
bisa difaham bahasa mata yang sedang berbual
akan aku sekadar senyum, melambai selamat tinggal

the hoppers & ahli muzik

Tuesday, November 25, 2008

bulan remuk

kapas-kapas yang berapung di gigi bulan
sedang beramai-ramai menanamnya
dari pandangan mata jelas manusia di malam sunyi.

namun airmata si bulat terlalu banyak
membanjir sehingga sarat kapas-kapas itu
tidak mampu menampung diri sendiri.

hati yang remuk, akan terlihat,
meski kau titahkan dunia membantu
menguburkan setiap titis menyimbah bumi.

Saturday, November 22, 2008

sudilah

sudikah pinjamkan runcing-runcing jari itu
untuk kau kesatkan juntai sisa di bibir aku?

sudikah kau kemaskan rambut di ubunku
bila kau lihat mata ini mula mengelabu?

sudikah berikan bahumu memancang dahiku
untuk ku sandarkan di keluarnya bulan biru?

sudikah kau temankan aku di setiap subuhmu
bila aku bisikkan betapa aku membutuh kamu?

sudilah.
ke sinilah.
bibir aku masih comot menunggu jarimu.

Thursday, November 20, 2008

minta yang akhir

dukung aku ke langit pagi
ketika jalak masih belum bangkit
papah aku ke situ, kekasih
di antara angin, di belakang bukit.

dengan aku di rangkul kamu
kuiskan namaku bertaut engkau
di atas tanah polos segoyah kita
ibarat indah semalam dijangkau.

selimut aku yang tak sudi pulang
dengan daun dan ranting kayu
yang nanti kau patah kembali
tanpa aku di tolehan jemalamu

biar aku semadi di sini sehingga tamat
dengan tanah polos dan rantingnya
yang pernah meneman aku seketika
dahulu yang ku caturkan selamanya

Tuesday, November 18, 2008

arjuna mimpi

mengapa sekadar jeling kalau hendak kau sulam bibir itu dengan simpul?
mengapa cuma merenung kalau hanya kau kuncikan gempita suara itu?
mengapa sanggup berbicara lewat hati tanpa dihulur anggukan salam?
mengapa perlu diketap mungil delima tanpa kau pamer teres gigimu?

mengapa tampal diri engkau di situ sedang aku menunggu saatnya
yang engkau soalkan wujud seorang aku yang sekian menanti kamu.

arjuna mimpi,
mampirlah.

tanya nama aku.

Friday, November 14, 2008

merbahaya

kekasih,
ribut sedang menyanyi zikir rahsia kita,
maka ayuh tanggalkan bajumu dan goncangkan tumit-tumit itu,
dan bernyanyi bersamanya.

kekasih,
taufan sedang mendodoi irama sunyi-sunyi kita,
maka ayuh capaikan akar-akar kayu dan petikkan lagu itu,
dan bergoyang bersamanya.

kekasih,
beliung sedang membisik suara diam-diam kita,
maka ayuh panjatkan pohon tertinggi dan jeritkan ritma itu,
dan berlaung bersamanya.

cinta ini terlalu merbahaya untuk dicanang-canang orang.
sudikah bernyanyi, bergoyang, berjerit bersamanya?

Monday, November 10, 2008

lengkap

suara falsetto kamu,
jemari di gitar itu,
gelengan bertempo laju,
lagu indah merdu.

lengkap.

Saturday, November 08, 2008

bakar diri

dan kau mintakan aku membakar diri menerang malammu yang sangat gelita,
dek takutkan jembalang yang tidak penat mengganggumu setiap malam dan siangnya.

tidakkah kau kenal aku.

kerna perlu apa kau tanya-tanyakan izin dari aku ini, wahai kekasih jiwa,
nan terdehem sedikit pun sudah pasti aku berlari merempuh langit petala.

tidakkah kau tahu aku.

dan padanlah sama yakin wajahku yang sudah siap berkeris menjaga,
rupanya ku bakar diri aku ini buat menyuluh cinta engkau dan dia.

hendak pulang

mari larutkan tubuh dalam bancuhan awan
dan hilangkan likat dosa yang terlalu sebati
semoga hanyirnya hilang tersagat ribut
dalam terbangnya ke langit nanti.

mari semadikan urat dalam kerikil tanah
dan kejutkan tengkuk yang terlalu longlai
semoga sentaknya merenjat setiap deria
dalam bergoncangnya sedar nan terabai.

betapa terhanyut seorang aku.
hendak pulang, tapi malu.

Wednesday, November 05, 2008

ke hadapan bintang jatuh

ke hadapan bintang jatuh,
kau nampak tidak anak itu sedang hampir-hampir terbunuh?
iya, dia itu yang sedang menangis di tepi tangga batu
iya, dia itu yang sedang sendirian tersedu-sedu.

dia tu sangat-sangat kasihan
di dunia ini dia rasakan, “aduh, aku sangat sendirian”
tidak ada sahabat, tidak ada kawan
kerana baginya dia langsung tidak reti berteman.

wahai bintang, aku ada bicara.
mahukah kau dengarkan andainya aku mau untuk bersuara?
janganlah jatuh dulu, nanti-nantilah dulu
ada pesan aku mau kirimkan lewat suara kamu.

anak itu tidak tahu bagaimana untuk bangkit dan ketawa
kerana apa yang dilihatnya lucu tidak pula di mata mereka
dia percaya pada kisah pari-pari dan kayangan
dia sanggup percaya setiap perkara itu adanya kemungkinan.

maka mana mungkin ada yang mahu mengerti
hatinya terlalu murni, pastilah ramai yang akan benci
dia dihina kerana percaya akan sesuatu yang bernama cinta
dia diolok-olok, dia dibobrok-bobrok, dia dimain-main kerana cinta.

lalu bintang jatuh, pergikan padanya dengan halus dan hati-hati
kisahkan ceritaku ini agar dia mengerti
yang sebenarnya bukan dia yg pelik dan songsang
cuma dunia yang bodoh kerana sudah berhenti memandang

bintang jatuh, perlahanlah!
jangan sampai kau mencecah
bintang jatuh, kisahkanlah!
ke matanya yang membasah

katakan padanya semua itu memang biasa
ceritakan juga tentang bundanya
juga suara ayahandanya yang dulu pernah diludah-ludah
mereka dibaling batu, dikeji-keji, dimarah-marah

hembuskan ke dalam hati anak itu yang sudah mula dingin
siulkan petik gitar ayahnya lewat suara angin
dan nyanyikan suara bundanya ini lewat guruh
bilang padanya “teruskan yakin kamu anak, biarkan bergaduh!"

"kerana kalau difikirkan orang, sampai bila
kalau difikirkan hati orang, cis! takkan kemana!
sesungguhnya manusia itu bagaikan serigala
sekali kau suapkan jiwa kamu, sampai bila-bila mau selama-lamanya"

bintang jatuh, perlahanlah!
jangan sampai kau mencecah
bintang jatuh, kisahkanlah!
ke matanya yang membasah





untuk mendengar lagunya, mari sini. maaf, kualitinya jauh dari sempurna. musik tidak berapa kedengaran. kepada yg datang secara live, akan kedengaran beda.

Wednesday, October 22, 2008

simpan pegang seranah caci

aku simpan seranahmu dalam liang telinga
dengan harap yang aku gunungkan dari sebutir zarah hati,
semoga diciptakan tuhan suatu hari nanti untuk aku
ambilkan semula dan paksa kau jilat kembali.

aku pegang cacianmu dalam salur kerongkong
dengan mimpi yang aku campingkan dari secebis ngilu,
semoga dikenankan tuhan suatu hari nanti untuk engkau
dapatkan semula dan kunyah setiap satu persatu.

kerana bahasamu yang kau pinjam dari iblis itu,
terlalu indah bunyinya sehinggakan aku mahu sekali
simpankan dan pegangkan sehingga suatu masa
yang kau jilat dan kunyahkan dengan hina.

kerana aku tidak reti untuk mati,
semata2 untuk lidah yang kau sewa dari neraka.

kerana aku tidak akan mahu mati,
selagi yang benar tidak memberi aku syurga.

pernah tak bila kau dimaki orang, yang kau sudah tidak mampu lagi utk berbuat apa2, yang kau senyum sahaja dan terbayangkan di suatu hari nanti bila si mulut cacar itu terpaksa menelan semula bahasanya? oh betapa indah hari kebenaran terongkar.

Wednesday, October 08, 2008

belum upaya

duhai tuhanku,
pegangkan jemari itu,
bantu pimpin dia ke pehamu.

besarkan dia,
perhatikan sentiasa,
elokkan andai ada buruknya.

mungkin juga,
kau ambil dia,
kerana aku ini masih belum upaya.

Wednesday, September 10, 2008

derita puteri

disebut suatu ketika dahulu
akan sang puteri ditawan seteru,
disabit direnyah leher puteranya
dibalukan dia dek syaitan durjana.

terpaksakan olehnya binatang itu
diranap persalinan diratah jitu,
tersiat mahkotanya, disentap paksa
dibiar meraung tak siapa kuasa.

dan datang purnama pergi berlalu
puteri merasa pinggangnya biru,
degup di dalamnya ada manusia
namun soalnya benih siapa?

andai punyanya kekasih dulu
jadilah cukup meneman sayu,
kalaulah pula bangsat yang punya
hendak ditikam mati sahaja.

bagaimana jua nan puteri itu
ditunggu nanti, arang mengabu,
aduhai tuan, kasihan dia
apa nasibnya, apa nasibnya.

tentu elok.

membilang sempurna dalam rusuk kamu,
melukis nama pada langit biru,
mengukir takdir di balik bibir itu;

tiada tentu.

menyerah semata pada yang esa,
menerima segala dalam buta-buta,
memasrah subuh tanpa usaha;

tiada eloknya.

matilah dalam perang,
dari terkencing menunggu parang.

Saturday, August 16, 2008

budak sunyi dan pari-parinya

sumpahkan aku ke sana
hidup bersama
mati berdua

andaiku takdir di sini
rangkullah aku
peluklah aku

jangan kau puja
jangan kau hina
ikhlasku dan jujurku

jangan kau puja
jangan kau hina
ikhlasku dan jujurku

sempatkah aku ke sana
ku takut semua
hilang bernama

ambilku dan bawa lari
kerna ku takut
tiada lagi

hanya kerna cinta yang ini
aku berserah tinggi kepada-Mu

yang Maha Esa
ku butuh cinta dia

engkau yang Maha Esa
agungkan cinta ini

sumpahkan aku ke sana
hidup bersama
mati berdua

ambilku dan bawa lari
kerna ku takut
tiada lagi

jangan kau puja
jangan kau hina
ikhlasku dan jujurku

dan suatu hari nanti
akan tiba seorang
memuja cinta kamu
meminta hati kamu

rangkulkan hati itu
dan hulurkan pada Dia
tanya pada tuhan kamu
apakah dia untuk kamu?

lagu ini sebenarnya telah diberi pada saya oleh tri pada awal perkenalan. meminta saya dari tuhan, untuk dijadikan teman hidupnya. saya bilang, kun fayakun. jadi, maka jadilah. syukur, kami sudah di tahap ini. puisi ini adalah yang paling halus dalam hati saya. kerana ia dari suami saya. untuk bunyinya, tatap di sini.

kamu bisa

apa kau dengar suara aku di dalam hati ini merayu sendiri
memanggil-manggilmu

apa kau dapat dengar bisik hatiku memanggil kamu

memuja kamu

menyebut setiap hujung pangkal namamu


memanggil engkau untuk bangkit

dan terbang dengan sayap

menjadi seorang yang orang katakan “itu bukan kamu”

memanggil kamu untuk bangkit

dan mengangkat kaki ini melangkah

mengatakan “apa itu semua, walaupun bukan aku,

tetapi aku mampu menjadi semua itu”


lagu ini, anak2, untuk kalian dengarkan

untuk kalian ludahkan pada mereka yang katakan
kamu tidak bisa

kamu tidak mungkin boleh

kamu tidak akan bisa menjadi segala itu


angkatkan kaki kamu!

angkatkan tangan kamu
!
bangkit, kawanku!

bangkit!


bangkitlah!

rejam setiap sumpah seranah itu

ke muka mereka dan katakan

“aku bisa menjadi setiap itu”


pekakkan telinga kamu

jauhlah dari ketakutan


tuhan ada bersamamu, kawan


never let people tell you your own abilities. it's yours to decide. for viewing, click here.

Thursday, August 07, 2008

sembah rugi

ku lekap cuping di degup itu
dengan jemari menghalusi wajahnya,
ku lalukan hembus cinta salju
di setiap inci kulit gagah emasnya,
ku sembah sempurna tegapmu
mengorban raga untuk selamanya.

sayang sekali yang terdetak cuma
jantung itu yang menzikir dia.

Sunday, August 03, 2008

cinta peribadi

seurat ikal itu yang terlabuh di bahu kamu
telah aku ambil secara curi dan ku selit rapi
di celahan dada maka di saatnya ku rindu
dapat ku ambil secara peribadi dan ku puja sepi.

dalam terdekat ini akan aku diamkan engkau
di antara malam nan hanyut kamu di mimpi
kerana semoga itu lelap terakhir kau igau
dan betapa molek, tertamat dengan aku ini.

matilah di hujung kuku ini, kekasih.
dunia terlalu tidak memahami.

ever feel like having something only for yourselves?

Thursday, July 24, 2008

warkah

ku hantar warkah untuk tuhan
meminta untuk diputus nyawa
pada hari 'pasti-tertunaikan'.

rupanya tidak ditulis apa-apa.

Wednesday, July 23, 2008

minta pulangkan

setiap perca hati aku,
yang ditenyeh pijak
dikunyah henyak
disiat hancur
dicincang lebur;

minta pulangkan.

setiap titis airmataku,
yang dihirup kejam
diracun tajam
direnjis bazir
dimuntah hanyir,

minta pulangkan.

setiap degup jantung aku,
yang dicekik sesak
digilis lanyak
ditusuk hiris
dibiar sadis,

minta pulangkan.

sudah ada yang mahu mengutip
setiap perca hati aku
setiap titis airmataku
setiap degup jantung aku.

minta pulangkan.
tak tahu malu.

when you want to move on, and still people expect you to live and mourne. to hell with you.

Monday, July 21, 2008

madah si miskin dipinang kayangan

bingit menembus semesta
berdentum melahir gempita
ini bunyi sayap aku, hey kamu
tandanya aku menerbang lalu.

andai dulu aku diulat-ulatkan
hidup busuk menumpang menyegan
kini aku dijemput sang putera
jahitkan rahangmu, lihatkan beta.

adil tuhan terbukti pada aku
nan tercacai seranah dimalu-malu
inilah dia sahaya kau hinakan
dijemput naik bersanding di kayangan.

pandang kudaku bersayap indah
camping dahulu, sekarang megah
airmata dialir sudah membeku
kau tak layak memegang cintaku.

setiap henyak dikasi tuan
tak terbilang bak rintis hujan
setiap itu yang kau beri dulu
membalas ini, bahagia itu.

Sunday, July 06, 2008

puisi pinjam dari tuhan

sudah habis bahasa langit,
yang tinggal cuma sedikit,
tuhan, izinkan ku pinjam hartamu,
mengalung agung memuji dia itu.

hujan, titahkan anak-anak anda
menari bernyanyi di telinganya,
pelangi, jadilah jubahnya dipakai,
kasikan warnamu damai membelai.

sungai, semoga lalumu menghanyutkan
tepat rasa lalai yang begitu menggian,
kerikil, hembuskan gagahmu di hati,
ajar kami bertekun dalam cinta ini.

terlalu berlambak terbazirkan habisan
semua bahasa raga pada syaitan-syaitan,
yang tersisa ini terlalu picis dan biasa,
maka pejam matamu, tuhan sedang bantu saya.

suara hujan, pelangi, sungai dan kerikil
sedang meluah bisu aku yang terkebil.

apa kau dengar?
apa kau akan biar?

buat bakal teman hidup saya, hazrilfitri bin hadzir. semoga tidak berhenti cinta.

Tuesday, July 01, 2008

so, yeah.

so i've pasted my heart in your palm
though you've said you can't hold it long
but i've got none to help me calm
like you'd right every bits of wrong.

so i've lived a million death threats
though you could never care ever less
but i've drank all of my bloody sweats
like you would ever try to kindly caress.

so it was so yesterday for you, love
though it is still burning yet today
but it was so obvious, heavenly dove
cause you hardly wish me in your pray.

those stings and deadly gifts are rare
but hey,
like you ever care.

menjadi itu

dan aku ini mahu terus menjadi langit
terutuh menghembus malam-malam kamu
tetap aku ini melampumu dengan bulan
juga menitah suria mewarna hatimu itu

kerana telah aku sumpah dari azali
bisikkan ranap jiwa, akan aku nyamankan
usah sembunyi hanyut terbuang walau satu
aku dipesan tuhan menjadi cinta merupa kawan

dan aku ini setiap satu persatu itu
tidak ku minta apa setimpal dari kamu
cumanya berbahagialah dan bersentosa
atas terciptanya aku ini menjadi bayu

aku sudah

langit sedang marah
burung sudah pulang
pokok berdiri kaku
aku duduk seorang

kasihan seorang aku
mengira awan sendiri
tangan tergenggam keras
ke mana cinta pergi?

disuruh tunggu setia
tertanya sampai bila
haru sang raga ranap
apa belas tuhan tiada?

nafas alam mendingin
malam merayap perlahan
lama aku di sini
sampai bila bertahan

jiwa,
matilah.

aku sudah.

Friday, June 06, 2008

aku bau sundal

usah bohong.
kebil engkau jelas.
jangan dusta.
gigil engkau keras.

wangi dia lekat.
aroma sitrus gersang.
persis pelacur sundal.
pasti dia jalang.

apa kau sedang bayang giurnya sekarang?
ketika kau pandang aku kini, wahai sayang?

aku tau.
aku bau.

Tuesday, June 03, 2008

saya mati

tadi saya tampar wajah hancur jiwa saya,
dan menengkingnya untuk pergi mati,
puasnya rasa tak terlukis kejam saya,
terlega setiap roma yang sekian mati.

jiwa saya terpana lalu merenung saya,
apa benar kau mahu aku ranap dan mati,
ketap bibir ini membantu sekali lembut saya,
janganlah terpancar bohong tadi suruh mati.

penat menangis, ranap bersayu itu saya,
alangkah melangit bahagia yang tak mati,
tapi apalah makna andai semua rasa saya
sekadar sentosa dimain-main rasa mati?

jiwa saya memandang tembus mata saya,
tentu, pasti, boleh saja saya setuju mati,
tapi dengar sini, dengar butir bahasa saya,
andai jadi mintamu, bukan saya seorang mati.

Monday, May 26, 2008

pesan hati

harus lari,
mesti pergi,
ke mana lagi,
tanya bertubi.

diam! diam! diam!
suara siapa ini terpendam?
jangan takutkan, usah seram,
kayuhkan kaku ke gelap malam.

rasa takut,
semua serabut,
mata mengusut,
kelam kelibut.

dunia itu akan menjerut kamu,
maka kabutlah dan cipta Kaabah baru,
wajakan pasak kamu,
usah jadi dungu!

mesti terbang,
terus hilang,
lupakan sayang,
kau harus buang.

Sunday, May 25, 2008

in the making






ipod
keyboard
pluckings
freestyling.

dark night
so right
two souls
feel whole.

tri & fynn;
In The Making.

Friday, May 23, 2008

mari, sunyikan.

mari,
ke rumah kecil itu
di pinggir air jernih
sepurnama perosoknya.

sunyikan,
indah kita di situ
berdua walau perih
tujuh langit ketawanya.

mari,
berpeluk atas batu
melorek asmara kasih
hanya unggas lagunya.

sunyikan,
bahagia tak tertipu
dada yang kosong sedih
sentiasa hendaknya.

mari sunyikan,
dengan benih yang mahu singgah
dan menumpang tidak lama lagi.

mari sunyikan,
cinta yang mereka cela sumpah
takkan mungkin takkan terbagi.

mari sunyikan,
kerana ia agung dan suci.

mari sunyikan,
kerana manusia itu dengki.

Sunday, May 18, 2008

sini!

sini, pandang aku.
hey, buta, kau sudah kenapa?

sini, dengar aku.
hey, pekak, kau itu kenapa?

sini, rasa aku.
hey, bodoh, kau sudah lupa?

sini, pada aku.
hey, kamu, kau cari apa?

dari dulu.
dasar buta, pekak, bodoh.

dari dulu.
sudah aku mahu.
sudah aku perlu.
sudah aku rindu.
sudah aku tunggu.

sini.

Thursday, May 08, 2008

tak terbanding

mentari yang terbenam itu berkecil hati sama engkau
pelangi di remang hujan juga menunduk wajahnya segan
rangup dedaun di rimba semakin menjadi sangat lemau
bayu gemalai yang harus berinang sudah reti mengenggan.

sayap kejora langsung tidak mengindahkan malam likat
ciuman air kali terasa sangat biasa-biasa dan hambar
paruh siulan cakrawala menjadi bunyi yang begitu sarat
kejelitaan alam kini sekadar satu biasan, satu gambar.

mereka sedang malu kerana terpandang ketepatan rasa ini
yang cuba dipupuk dengan wujudnya setiap mereka itu
kerana cukup sekadar mata yang memandangku suci
tak terbanding sempurnanya sama rasa yang kau beri aku.

Monday, May 05, 2008

serabut

gula jadi masin
kopi rasa hingus
mandi dengan pasir
tidur mata buka
baring atas duri
buku habis nikmat
drama macam haram
angin sudah mati
baju usah gosok
lagu hilang indah
puisi lancar tidak.

celaka senyum itu,
serabut jantung aku.

tetap tiada

di tengah ramai ini,
bersunyi.
mencari mata yang sudi menegur hati.

di pasir-pasir riuh tadi,
aku mati.
memancing suara yang mahu menyalam diri.

tetap,
tiada.

Friday, May 02, 2008

malam ini kita menangis

malam ini kita semua menangis
apakah salah jika ada air di mataku ini?
apakah nampak bangang bila aku luahkan segalanya yang di dalam diri?

malam ini kita semua menangis
malam ini kau akan lihat aku sebagai seorang gadis
--meminta-minta pada langit
meminta-minta.

malam ini aku akan tunjukkan apa yang ku ada di dalam ini
malam ini aku ku luahkan segala yang berada di dalam diri

kerana selama ini kau katakan:

“hey gadis,
kau begitu keras
kau begitu ganas

hey gadis,
luahkan apa yang kau rasa

hey gadis,
kasikan apa yang mungkin kau akan kata”

tapi aku ini gadis yang ingin menjadi seorang yang pemberani
berani mati
aku ingin menjadi gadis yang tak akan lenyap disebabkan arus zaman
aku ingin menjadi gegadis itu
aku ingin menjadi gadis yang kuat itu

tidak mahu aku aku menitiskan air mata ini
air mata ini terlalu mahal
walau untuk mengemis
walau untuk menangis

aku ini gadis yang terlalu keras
terlalu ganas
takkan ku luahkan

walau aku mahu menyatakan apa yang ku rasa
apa yang ku minta
walau aku ini gadis yang tidak diadilkan
aku tidak akan menangis di hadapan engkau
mintalah apa yang kamu mahu
tapi bukan airmataku
bukan itu

kau mintalah apa saja yang engkau mahu
bukan itu
bukan itu

malam ini kita semua akan menangis
bukan kerana aku lemah
tetapi kerana engkau terlalu gagah

kau tidak mahu memberikan
ku yang mau
kau tidak memberikan
apa yang ku mahu

malam ini kita menangis
bukan kerna aku mau menunjukkan aku lemah
tetapi kerana kau terlalu gagah

menghenyak aku
membunuh aku

malam ini kita akan menangis bersama
malam ini kau akan lihat apa yang ku rasa
malam ini kau akan merasa
apa yang aku rasa
apa yang aku rasa

malam ini kita akan menangis bersama
kau lihat aku di sini dengan airmata
aku ini gadis yang dihina
aku ini gadis yang kau bencikan
aku ini gadis yang kau jaja
kenapa aku tak kau maukan?

malam ini kita akan menangis bersama
tapi bukan kerna ku lemah

kau terlalu gagah
menghenyak-henyak, menghina-hina, memaki segala
kau siapa menyatakan itu?

ku ini di sini sudah menggagahkan kaki, melengkapkan diri
tak mau ku menangis-menagis lagi
kenapa kau minta airmata ini?

malam ini kita akan menangis
bukan kerana ku seorang gadis

seorang gadis.




So unfair, dont u think? View it here.

kawan hujan ribut taufan

cinta
cinta

siapa kata cinta 'ni hanya untuk pasangan saja?
siapa kata cinta hanya untuk si dia saja?

kadang-kadang aku ingin menyatakan pada teman-teman
"hey kawan-kawan, saya cinta anda"

maka bila di setiap masa kamu itu tidak diadilkan
maka bila di setiap masa itu kamu disampahkan
ini rangkul aku
mari ke sini aku dakapkan kamu
berikan hati-hati kamu itu letak di tangan aku
aku simpankan

dan kawan-kawan,
di waktu hujan ribut dan taufan
aku di sini untukmu, kawan

di waktu engkau disampahkan
di waktu engkau ditekan-tekan
tangan ini memegangmu, kawan

memegangmu, kawan-kawan
memegangmu, kawan-kawan
memegangmu, kawan-kawan

cinta kawan itu lebih tinggi dari langit
lebih dalam dari rawan
lebih dingin dari api
itu cinta aku padamu, kawan

mungkin si dia akan kata:
"hey, kawan kamu itu busuk"
"hey, kawan kamu itu najis"
"hey, kawanmu itu persis seumpama binatang di tepi-tepi jalan"

aku katakan: "hati mereka di tangan ini
jangan kau katakan pada mereka
hati mereka ini di sini
mereka kawan-kawan, tetap di sini"

hey kawan-kawan
cinta pada kamu takkan bertepi

hey kawan-kawan

cinta aku untuk kamu
persis si langit biru
sedalam laut biru
semua-semua itu

cintaku untuk kamu
untuk kamu

di waktu kamu rasakan tidak ada satu benda
yang membuatkan kamu rasa sangat sentosa
aku ada di sini kawan-kawan
mendengar
memberi telinga
berkatalah apa saja

hey kawan-kawan

letakkan hatimu di tangan ini
akan aku jaga
akan ku jahit di sini

hey kawan-kawan, dengarlah kataku
hanya untuk kamu
hanya untuk kamu, kawan-kawan

bila kamu jatuh, aku di sini menunggu
bila kamu menjatuh, aku di sini untuk kamu
tetap bersama kamu
hey kawan-kawan, aku di sini untuk kamu

tapi bila aku jatuh apakah kau akan berada di situ memegang hati aku?
menjahitkan hati di dadamu?
apakah aku bernilai seperti sebagaimana kamu bernilai di sini ?
di dalam hati ini

hey kawan-kawan

aku untuk kamu
aku untuk kamu
aku untuk kamu

kawan-kawan
aku tidak mengata yang bukan-bukan
hati ini untuk kamu, kamu, kamu, kamu, kamu, kawan-kawan
untuk kamu kawan-kawan
untuk kamu kawan





I made this piece with Kecy on my head. i love u all. Jangan tinggalkan saya. Saya tiada sesiapa. View it here.

berbual tentang saya

ini lagu tentang cinta
ini lagu tentang rasa
ini lagu tentang cinta
buat si dia

saya pernah cintakan seseorang
saya pernah sukakan seseorang
tapi dia kata satu hari itu:
“cinta kita tak mungkin, oh sayangku”

saya pernah suka seseorang
saya pernah cinta seseorang
tapi dia katakan di malam itu:
“maaf, sayang, mungkin kamu bukan untuk aku”

“kerana terlalu banyak sebab yang memisahkan,
sebab yang memaksakan”

saya terus benci seseorang
saya terus marah seseorang
sebab dia katakan, "hey sayang--
cinta kita tak mungkin terang"

lalu saya pergi jauh
lalu saya lari jauh
saya bisik pada laut itu:
"apakah tak ada cinta buat aku?"

saya terus benci seseorang
saya terus marah seseorang
kerana dia mengatakan, “hey sayang--
cinta kita tak mungkin dipandang”

lalu saya tanya:
kenapa saya?
selalu saya!
tak pernah ada cinta untuk saya!

kenapa selalu saya?
tak ada ke sesiapa yang mahukan saya?
saya ni manja!
saya ni comel!
saya ni manis!
saya ni lawa!

kenapa tidak ada sebutir bintang di langit itu memuja aku?
di langit itu berjuta warna
di hujung sana pelangi jingga
tak akan tak ada seorang itu untuk memegang-megang aku?

saya suka orang, orang tak pernah suka saya.
saya sangat cinta orang, tapi kenapa tak cinta saya?

saya mau dirangkul, dipegang
dimanja, disayang, dimau orang
tetapi saya kenapa saja tidak ada orang cinta?

saya benci akan seseorang
saya marah sangat pada seseorang
saya bagitau mak abah saya
dan mereka kata:

“tak ada jodoh agaknya”





A very cute piece i did, talking about me. I dunno. Feels so honest. And cute. View it here.

Monday, April 28, 2008

kimia

dengan cuma sebuah gitar kecil
dengan hanya bibir nipis mongel
dengan sekadar suara jujur kamu
dengan tenang, dengan malu-malu.

kimia.

bernyanyi kisah jiwa hancur
bernyanyi lagu rasa lebur
bernyanyi cerita mimpi sayu
bernyanyi tenang, bernyanyi malu-malu.

kimia.

letak sini airmata dari setiap luka
letak dan aku pegangkan lama
letak sahaja untuk aku tiupkan
letak dan semat terus, kawan.

kimia.

kita dua pecinta di novel jahanam
kita dua penulis telah dikejam
kita dua merasa, cuma kita
kita dua sahaja, tiada siapa.

kimia.

it's unbelievable how i found solace in bo amir iqram. may the chemistry grows, love. we sound brilliant together.

Tuesday, April 22, 2008

kisah si pokok bongkak

lalu daun itu dipenggal dari jarinya,
tanpa ucapan selamat
kerana ramai lagi di telapaknya.

hanya daun itu meratap-ratap sayu,
tanpa peduli maruah
kerana dilepas semata begitu-begitu.

ranap daun itu melihat uratnya terputus,
tanpa dikasihan langsung
kerana situ dulu dilindung panas pejus.

tiada memandang sang pokok itu mengetis,
tanpa selembar sayu
kerana maha gagah tubuhnya membetis.

bongkaklah, sayang.
sehingga nanti kau merasa
dipotong, ditunggul orang.

cinta kawan

masih tetap mahu di sini,
memasak kaki, menyembah bumi.
masih gagah bersama di sini,
memancang kudrat, mengharung duniawi.
kawan itu ada ramai, sayang.
kamu ambillah dan lambung2kan.
dan andai dilempar ke langit seberang,
aku pungutkan dan aku timang-timangkan.

kawan sampai mati.
ini satu janji.

untuk pok arm. pegang janji engkau. cause im holding mine.

Saturday, April 19, 2008

pesan untuk gadis ranap

terhingar gelak kejam malam
lalu kau berlari mencari selimut
kekehnya terlalu menghiris tajam
dan kau jerit-jerit mahu kabut.

sang bintang sedang mengunyahmu
kau melaung pedih mengharap belas
bulan juga sudah mengasah kuku
hendak meratah jiwa kamu yang keras.

kuat apa lagi, hei anak yang tongong?
takkan faham semesta ini --cinta kamu
sudah-sudahlah bertopeng duyung
engkau kerapu hodoh yang tak dimahu.

selamat tidur, gadis.
semoga esok kau tidak bangit.

berapa lama mahu ranap?

Tuesday, April 15, 2008

hujan

hujan, titiskan lagu pahit,
jangan dodoikan cinta dalam desir kamu.
aku wanita yang dikasihan,
maka sedarkan bohong-bohong aku.

hujan, sendukan fakta perit,
jangan nyanyikan kasih dalam ayun kamu,
aku wanita yang dipujukkan,
maka sedarkan dusta-dusta aku.

hujan,
ini bukan belai cinta,
cuma simpati semata.

Monday, April 14, 2008

rindu mentari

rumah gelap.
hati kelam.
jiwa ranap.
mimpi suram.

rumah kosong.
hati sunyi.
jiwa lopong.
mimpi basi.

rumah hati
jiwa mimpi
semua ini
rindu mentari.

Friday, April 11, 2008

harap cinta

seolah memanjat gunung bersulam duri,
memetik bulan yang tersembunyi di awan,
seperti meminta bintang sudi disimpan di hati,
dan memujuk mereka melingkar di tangan.

indah itu terlalu kecil untuk dibanding rasa ini,
bila termeterai di buku langit aku dimilik kamu,
tidak akan ada lagi sayu seorang, pedih sendiri,
tidak mungkin ada lagi hidup aku sekadar aku.

simpankan cinta untuk aku lagi seribu tahun,
dan panjangkan rasa sehingga tertamat umur dunia,
semoga zuriat terus ada bangkit dan bangun,
mencerita pada benih mereka tentang setiap kita.

yang mencinta dan dicinta di satu-persatu waktu,
yang kosong tapi saling melengkapi, demi rasa ini,
mati hidup bersama berdua, selamanya pengantin baru,
kekalkan abadi ini, setiakan pasak di dalam diri.

cinta aku, cinta kamu,
untuk aku, untuk kamu.
harap cinta, harap selalu,
kekal rasa, kekal baru.

konsep perkahwinan. haih. adakah sudi kamu pada aku?

Wednesday, April 09, 2008

satu hari nanti

tanah mahu sayangkan aku
burung-burung yang di langit biru itu

pokok dedaunan hijau mahukan aku

langit jingga mahukan aku

tetapi mengapa tidak kamu?

aku mengharap sayang
aku mengharapkan cinta

tiang di situ mahukan aku
lelaki itu mahukan aku
bajumu itu memanggil namaku
rasa di dalam hati mahu aku
tetapi mengapa tidak kamu?

satu hari nanti engkau akan tahu
satu hari nanti engkau akan merasakan apa yang aku ada di dalam diri ini
satu hari nanti engkau akan tahu
perempuan itu tidak akan menjagamu
perempuan itu tidak reti menjagamu
mereka itu tidak reti berpuisi seperti aku ini di sini menyanyikan lagu –
cinta buatmu sayang
cinta untukmu sayang

mereka semua melutut kepada kamu
mereka semua menjulang kamu
tapi itu, sayang, waktu kini bukan nanti
tapi itu, sayang, semua itu bukan nanti

aku di sini menanti-nanti kamu
mengharap-harap kamu
menunggu-nunggu kamu

tapi mengapa kamu tidak mahu aku
tapi mengapa engkau tidak nampak aku

aku di sini menunggu-nunggu kamu
aku di sini menunggu-nunggu kamu

oh¬
(tidak!!!)

ayah pernah berkata “hey anak, jangan kau pandang lelaki begitu!”
ibu pernah berkata “hey anak, jangan kau cari lelaki yang begitu!

yang tidak maukan kamu!”

tapi aku ini degil, bunda
aku ini degil, ayahanda
aku ini degil sekali

oh mereka-mereka semua tidak merasa rasa cinta di dalam hati-hati ini!

satu hari nanti engkau akan tahu
satu hari nanti engkau akan rasa apa yang aku tahu
satu hari nanti engkau tahu mereka itu tidak butuh kamu seperti aku
seperti aku

langit itu mahukan aku
burung-burung itu mahukan aku
Llngit biru itu memanggil-manggil namaku
tetapi tidak kamu
tetapi tidak kamu
tetapi tidak kamu

satu hari kau akan tahu
satu hari kau akan tahu
satu hari kau akan tahu
satu hari kau akan tahu betapa engkau:
dungu sekali
bodoh sekali

menolak cintaku yang tidak pernah bertepi
menolak cinta aku yang takkan dimamah api

aku ini cinta kamu
aku ini mahu kamu

aku ini butuh kamu

tapi mengapa tidak kamu?


rasa ini bukan permainan

rasa ini bukan satu anganan

bagilah dan sedarlah aku ini
aku menjadi isteri yang budiman

yang budiman
memasak sarapan
mengemas permainan anak-anak kita

satu hari nanti aku ini sang isteri
akan menjaga cinta paling tulus
cinta paling tulus suci untuk butuh kamu
kamu
butuh kamu

view the song here.

Tuesday, April 08, 2008

cinta disampahkan

jantung, diam.
akal, diam.
urat, diam.

mencari nafas di dalam hati
mencari nyawa di dalam diri
mendiri cinta pada yang tak sudi
mencari harga diri

aku gadis yang disampah-sampahkan
aku gadis yang dihilangkan
aku pecinta yang ingin disayang
aku ini bukan milik orang

mencari diri di dalam kamu
mencari maruah diri di dalam cinta kamu
mencari nafas yang telah di matikan
mencari langit yang telah pernah engkau kuningkan

mencari aku
mencari engkau
mencari indah
mencari dia yang kau cinta

mengapa cinta ini kau tolak ke tepi?
mau tolakkan kepala ini
mencari rasa
mencari dia
mencari harga diri yang kau lelongkan ke tepi ke dalam api
ke dalam api
ke dalam api
ke dalam api

aku ini perempuan yang telah pun kau lelong-lelongkan pada langit itu
aku perempuan itu: perempuan yang bodoh itu
mengapa aku di biar di sini?
mengapa aku dibiar kau pergi?
mengapa aku di sini, kamu di situ berbahagia selalu?

mencari diri, mencari diri
mencari aku, mencari kamu
mencari dia, mencari semua
mencari segala, mencari semua

mengapa cinta?
mengapa sayang?
mengapa rasa ini kau buangkan sekarang?

jiwa, diam.
mata, pejam.
hidung, diam.
mulut, diam.

segala diam
dunia memejam memandang aku:

“hey, bodoh kamu!
pergilah engkau!
dia bukan milikmu!
pergilah engkau!
dia bukan milikmu lagi
cinta kamu dimamah api”

mengapa aku disini: aku menunggu kamu, si orang itu?
mengapa aku di sini mengharapkan cinta yang sudah pergi?
yang sudah pergi!

mengapa aku mengharap lagi?
mengapa aku masih di sini?
mengharapkan sementara cinta
mengharapkan pada yang tiada

tiada
tiada
tiada

When you still can't find a reason to leave your memories behind. When you are too strong to let go, too weak to leave them. For video, click here.

Tuesday, April 01, 2008

blues terlewat

ini lagu
ku tulis untukmu
ini lagu
ku tuliskan untukmu, sayang

oh sayang

lagu terlewat
lagu terlambat
sayang

ini lagu tentang kebodohan jiwaku ini
ini lagu tentang kealpaan diri
ini lagu melepaskanmu, sayang
meninggalkanmu, melimpaskanmu, sayang

sayang
sayang

aku buta kerana selama ini aku tidak nampak cinta kau
aku bodoh
aku pekak
aku tak dengar
aku tak nampak
kau ada di situ menunggu aku
dan kubiarkan cintamu berlalu, sayang

lagu ini memohon memohon maaf
lagu ini melafaz sayang
lagu ini…
sayang…!
selama aku biarkan kamu dekat situ.

dan kau katakan kepadaku “hey sayang, aku mau pergi”
kemudian aku katakan “nanti! nanti! nanti!”
ku sedar siapa dirimu di hadapanku ini

jangan pergi!
jangan pergi
ku sedar salahku ini!!

ini lagu maaf
lagu cinta
lagu tak mahu aku berputus asa

jangan pergi
oh janganlah pergi
janganlah kau pergi
nantikan ku ini
ku sudah kembali

blues orang bodoh sepertiku

lagu sayu
lagu cinta orang gila
nanti
janganlah pergi
nanti

when suddenly you realized it is too late. for viewing, please come here. value the ones you love NOW, before it's too late.

Saturday, March 29, 2008

mungkin

mungkin sedang tidur
mungkin juga bercanda
mungkin mahu mandi
mungkin engkau gembira
mungkin mengingat aku
mungkin dicari dia
mungkin menghembus asap
mungkin sedang ketawa.

mungkin mungkin sahaja
mungkin setiap segala
mungkin meranap jiwa
mungkin sekali bahagia
mungkin harap pada mungkin
kecuali memungkin wajahnya
biarkan aku mencinta mungkin
memberi kemungkinan sentosa.

mungkin.

mimpi jahat

aku mimpi tadi
di pejam tengahari
aku mimpi lagi
sudah berulang kali.

tunggu aku, katanya
teruskan gapai, mintanya
hidup bahgia sentiasa
yakini jodoh nan ada.

nanti kamu, tanyaku
biarkan saja, soalku
merenyai tangis sendu
yakini percaya nan sayu.

telah aku ikat doa di juntai awan
semoga tidak hujan malam ini
kerna tetap mahu aku utuhkan
rasa cinta yang tinggal berbaki.

aku bangkit tadi
di terang matahari
aku bangkit lagi
dengan sayu hati.

Friday, March 28, 2008

boleh sanggup, mampu bisa

aku boleh panjat bintang untuk melaung sayang,
aku sanggup renang ribut untuk mencari kau kabut,
aku mampu bertinggung ke pagi menunggu terang,
aku bisa menjulang pelangi untuk menghilangkan serabut.

aku boleh tengking ombak gagah untuk berlembut padamu,
aku sanggup memedang halilintar untuk memerisai taufan,
aku mampu bersengkang tidur mengunyah nyamuk-nyamuk itu,
aku bisa membobok mimpi engkau untuk lena bertahan.

aku mahu setiap itu, setiap satunya itu,
tapi kau minta ku buat satu: biarkan aja kau berlalu.

kedu,
tersedu.
sayu,
terus kelabu.

Sunday, March 23, 2008

langit runtuh

langit runtuh sejak purnama lalu,
dan aku dipaksa untuk menopangnya,
sebelum menyerpih dan bertaburan,
mesti aku junjungkan setiap beratnya.

bukan sahaja yang itu-itu, wahai nyawa,
kalau disuruh membakar sukma juga,
akan aku siramkan minyak dan cucuhkan api,
mesti aku lakukan setiap yang dipinta.

tapi yang aku ranapkan di hati ini adalah satu,
bilamana langit yang aku teguhkan henyaknya,
adalah semata untuk memberi ruang kalian bercanda,
menari-nari di dongak kepala yang sedang hiba.

apa masih kamu mahu aku tegakkan siksa ini,
menampal gagah yang aku reka-reka sahaja,
menjadi sang bahalol menegang urat yang memutus,
untuk melihat kalian berinang berzapin di atas jemala.

Tuesday, March 18, 2008

hey nyawa

hey nyawa, diam sekejap.
penatlah dari meratap.

dia sudah pergi.

Monday, March 17, 2008

tentang kawan-kawan

di mana kalian masa tahun baru?
aku bersama teman-teman aku
sebab aku rasakan tahun baru itu
seharusnya disambut dengan orang-orang terkenal olehmu

ada orang katakan “hey Fynn, sudah glamer skarang”
“bagaimana rasanya?”
aku katakan, “biase je.”

biasa saja.

sejujurnya aku ini bencikan dunia yang baru kurasakan
sejujurnya aku rasakan dunia baru ini penuh manusia plastik saja

kawan-kawan sana kata:
“hey, Fynn”, “hai, hello. sini!”
aku katakan:
“haa okaylah. hehe. apa khabar?”

semua tak faham
semua kata, “hey sombongnya”
tapi ku katakan “hey inilah Fynn sebenarnya”

berapa orang yang kau boleh bilang menjadi kawan, kawan?
berapa orang yang boleh bersama-sama, teman?
berapa orang yang kau rasakan memang sebenarnya kawan dalam jiwa?

sebab sebenarnya berapa orang aja yg kita betul-betul kenal
yang tahu apa makanan kegemaran
yang tahu apa yang kau rasakan
yang boleh tahu kau sedang menangis ketika kau sedang tersenyum

berapa orang yang hilang bila kau katakan kawan, kawan?
berapa orang yang kau boleh katakan teman?
semuanya ketika ada duit saja
ketika ada rumah, ketika ada segalanya

berapa orang yang benar-benar kenal engkau?
di luar, di dalam, siapa yang kenal engkau?
hanya keluarga
hanya satu dua tiga
yang lain semua sampah belaka

satu hari itu aku pergi sana
lepas tu orang cakap:
“anak pontianak! anak pontianak!”
aku katakan:
“bukan. bukan. bukan”
kemudian dia kata “betulkan…?”

ku tak suka dunia baru ini, ku tak suka
bukan kerna apa, bukan kerna kerek, tapi ku tak suka

kerana berapa orang yang kau boleh bilang kawan?
berapa orang yang kau boleh bilang teman?
semuanya bohong belaka
semua ketika ada duit saja
ketika ada rumah

hey kawan-kawan, berhati-hatilah
kerana orang-orang itu semuanya hanya mengambil kesempatan
mengambil keuntungan
di waktu engkau senang
di waktu engkau terbilang
di waktu engkau rasa suka
di waktu duka tiada

hey kawan-kawan berhati-hatilah
dunia penuh dengan, penuh dengan
penuh dengan sampah
penuh dengan sampah

tahun baru ini kita katakan kita mahu berubah
mahu berubah

tapi berapa orang yang telah ambil inisiatif untuk memikir sepanjang tahun lalu apa yang telah kau lakukan
bukan fikirkan ke depan!
fikir apa yang dah terjadi
muhasabah diri
fikirkan apa dah jadi
bukan sekadar mencari “wah, ramainya kawan!”

percayalah kawan aku sudah berada di sana
dan aku boleh katakan yang aku tak suka

semua kata teman
semua kata kawan
tapi bila kau sedih
tapi bila kau berduka

tiada siapa yang mau duduk bersama
semua berlari keluar pintu sana

semua kata “bye bye”
padahal dulu “hai hai”
siapa mereka, kita takkan tahu siapa

cubalah kau bersusah
yang siapa meninggal bersama kamu itu kawan
yang sudah pergi, bukan
yang tinggal itu kawan
yang pergi itu bukan
yang tinggal itu kawan
yang pergi itu bukan
yang tinggal itu kawan
yang pergi itu bukan
yang tinggal itu kawan
yang pergi itu bukan

berhati-hatilah
berhati-hatilah
berhati-hatilah
berhati-hatilah kawan-kawan

ini tahun baru kita buka buku baru

fikirkan masa dulu
sekarang ini kamu fikirkan, kawan-kawan
fikirkan kawan-kawan
fikirkan kawan-kawan
fikirkan kawan-kawan

siapa kawan
siapa lawan
siapa kamu
kenali dulu

kenali diri kamu
kenali diri kamu
kenali diri kamu

oh
lalalalalalala

ini lagu tentang kawan-kawan
tentang kawan-kawan yang bukan-bukan

dear fakers, i do not like to be your friend. please leave.
have a peek at the sound of this poetry here.

Sunday, March 16, 2008

cari

mencari senyum dalam mata itu,
mencari kasih yang pernah tersimpan buatku,
mencari harap di setiap tertembung malu,
mencari aku di dalam kamu seolah dulu.

mencari damai dari kejauhan yg dekat,
mencari rindu yang ku tanggung sarat,
mencari cinta yang kau tutup rapat,
mencari aku yang sedang tersiat-siat.

mencari kamu yang hilang di dalamnya,
mencari jiwa kau sembunyi tak bersuara,
mencari gagah untuk aku tumpang sama,
mencari aku yang kerananya jadi gila.

mencari dalam anak mata itu,
mencari aku,
mencari kamu,
yang dulu.

Friday, March 14, 2008

puaslah kamu

debu-debu mata berbentuk air mengalir,
zarah-zarah merah pekat di pangkal bibir,
selamatkan aku.
selamatkan aku.

awan-awan mendepang mahu menyambut,
cepat-cepat aku pusing mencari ribut,
pegangkan aku.
pegangkan aku.

kekeh-kekeh guruh menikam sayap aku,
mati-mati aku sangka butir itu salju,
kuatkan aku.
kuatkan aku.

tegar kau biar aku ini bermati dihunus takdir.
baik kau lontar terus saja aku pada petir.
puaslah kamu.
puaslah kamu.

Monday, March 10, 2008

menjadi aku

menjadi kabus yang bersembunyi di bawah embun,
menjadi lelehan air yang melembab seekar kebun,
menjadi bayu yang mendingin malam bahang,
menjadi ritma dalam jiwa yang sedang berseorang,
menjadi kerlipan mata yang membasah kering kelopak,
menjadi kunang-kunang yang memberi cahaya bersopak.

melihat kamu yang kehausan berhari sesat di hutan,
melihat kamu yang bermatian menghidupkan tanaman,
melihat kamu yang kepanasan kerana angin kering,
melihat kamu yang sunyi sendiri sambil berbaring,
melihat kamu yang menggosok-gosok mata kepedihan,
melihat kamu yang terlanggar tunggul dalam kegelapan.

aku menjadi yang itu-itu melihatkan kamu.
menjadi sesuatu yang kamu tidak tahu kamu perlu.
dan menjadi yang itu-itu membahagiakan aku.
menjadi sesuatu yang kamu sebenarnya amat perlu.

love is all about giving. never receiving. so hey, if u have a permanent donor, never let go.

Thursday, March 06, 2008

kalaulah benar

kalaulah benar
perutusan tentang kamu
bermain silat persembah duli
izinkan di sini aku menari.

kalaulah benar
perkhabaran tentang itu
bersanding puteri indah peri
izinkan di sini aku memerhati.

kalaulah benar
kenapa angin membisik sayu
tentang kamu mencarik hati
mencinta walau kamu tak sudi.

kalaulah benar
mari ke sini mari pada aku
berdua menari tiada memerhati
langit terlalu luas untuk aku bersendiri.

Wednesday, March 05, 2008

andai bisa

bisakah ku pujuk jangan?
andai aku lekatkan lutut
bersama tanah keras jalan?

bisakah ku rangkul erat?
andai aku korekkan rusuk
menunjuk degup hati sarat?

bisakah ku luah cinta?
andai aku tutupkan alis
sekadar cuma ku bersuara?

bisakah ku sentuh bibir?
andai aku serpihkan mimpi
demi senyum itu mampir?

bisakah kamu faham aku?
andai ku khabar mustahil
untuk aku buangkan rasa itu?

Tuesday, March 04, 2008

saya layang-layang.

saya layang-layang,
kamu peraihnya.
saya suka terbang,
kamu mengemudinya.

saya layang-layang,
kamu melihat
saya suka terbang,
kamu buka ikat.

saya layang-layang,
kamu tuannya,
saya suka terbang
bila kamu ada.

saya layang-layang,
kamu kasihan,
saya suka terbang,
tapi cuma berdekatan.

saya layang-layang,
kamu potong talinya,
saya suka terbang,
kamu fikir saya suka?

saya layang-layang,
kamu sudah pulang,
saya benci terbang,
tanpa peraih sayang.

Friday, February 29, 2008

terbanglah, matahari!

terbang

hey nyawa, jangan lepas tangan,
paut sini, aku sedang hulur jemari,
harus kuat, harus penuh semangat,
kencangkan nafas, kamu harus menari.

hey nyawa, jangan putus dari badan,
aku di sini, memangku bahu kamu,
mesti gagah, jangan kau goyah,
biarkan dia mencari si awan biru.

hey nyawa, jangan kamu rasa sunyi,
mari sini, aku popokkan dodoi cinta,
perlu tegap, dia sudah penat hinggap,
jangan kamu minta dia pergi dengan kata.

hey nyawa, menangislah engkau,
habis-habiskan meronyok jiwa,
tidur sekejap dan bangkit di dinihari,
depang tangan dan lambai pergi dia.

hey matahari, andai datang gerhana,
datang sini, tetap engkau aku pujukkan,
tidak akan meminta-minta sinar lagi,
cuma dari atas itu, lihat-lihatkan.

Thursday, February 28, 2008

bidadari dan malim demang

dia sudah terbang,
jangan dipanggil-panggil.


hatinya rapuh,
menangis menggigil-gigil.


dia sudah terbang,
harap masih dipanggil.


walau kamu tak pernah hirau,
tetap menunggu, masih degil.


hai malim demang, beruntungnya engkau,
terjumpa bidadari sedang bersiram.


hai malim demang, beruntungnya engkau,
bidadari menolak kayangan bersemayam.


hai malim demang, beruntungnya engkau,
mahu si bidadari berumah lalang.


hai malim demang, beruntungnya engkau,
puaslah hidupmu bidadari beri sayang.


hey malim demang, tak sedar untungkah kau?
kenapa kau cari manusia yang seperti bayang?


hey malim demang, kenapa kejam sangat engkau?
bidadari dihantar ke langit dengan parang?


dia sudah terbang,
dengan sayap hancur.

dia sudah terbang,
kau biar tidak menegur.

Wednesday, February 27, 2008

biar mati

ini pisau, bunuh saja aku.

kau suruh pilih mati atau hidup tanpa kamu.
tikam terus jantung aku ini
biar habis ceritanya, biar mati.

ini jiwaku, lihat saja dia.

kau dulu pernah selimutkan dengan setiap cinta.
pijak terus nyawa aku ini
biar ranap terus, biar mati.

ini suara, pejam saja mata.

kau mahu aku hentikan dodoian penenang raga.
tekap saja bibir hati ini
biar kejang keras, biar mati.

ini memori, padam saja semua.

kau minta semua segala maka ambil sahaja.
bantai pukul degil aku ini
biar dapat inginmu, biar mati.

ini saya,
biar mati.

Tuesday, February 26, 2008

boleh bisa rela untuk sanggup hendak ingin

aku boleh terbang
juga boleh berkayuh
aku sanggup berlari
walau kudrat tak kukuh.

aku bisa bernyanyi
juga bisa berdiam
aku hendak mencantum
mimpi kamu yang memadam.

aku rela menangis
juga rela berdebik
aku ingin datang
sebaik kau bertempik.

tapi kau boleh bisa rela untuk
sanggup hendak ingin aku pergi.

Monday, February 25, 2008

cinta duyung

berenang berjuta ela ke persisir,
semata untuk disuruh pulang ke laut dalam.

kenapa tidak kamu empangkan saja pantai itu.

kasihan bulan

aku bulan.
kamu mentari.
'gimana bisa aku bersinar
bila kamu mau pergi?

janganlah lokek, suria...
kasihan aku, kasihanlah.
aku di sini mengemis belas
hilang kamu aku punah.

aku bulan.
kamu mentari.
cuma bulan.
bila kau mentari.

aku tidak akan malu meminta-minta begini,
kerana aku sudah hilang harga diri,
yang aku sangkutkan di sinar kamu,
maka jangan cahaya itu kamu sembunyi.

aku bulan.
kamu mentari.
kasihan bulan--
ditinggal mentari.

Thursday, February 21, 2008

cinta sembunyi

terbayang ternampak terimaginasi
tapi aku luputkan wajah kamu terus
serakah menerjah, tidak terendah
serba salah dipadam menjadi kabus.

oh betapa bersembunyi ini euphoria.

terkesima terpana terhangat rasa
walau pernah aku telan sensasi ini
sekadar berpacar dibelakang hingar
lebih gila, lebih sengsara, lebih seksi!

oh betapa bersembunyi ini erotika.

terdiam terfikir terbelenggu diri
andai di satu hari kisahku telus
benar sekarang zapinnya indah
andai terbongkar segalanya hangus.

oh betapa bersembunyi ini menakutngeri.

terpesona terlupa terabai segala
saat melihat kecantikan senyum tadi
pada setiap sunyi ada dia membayar
baloinya memang tinggi, jerit suara hati.

oh betapa bersembunyi ini mengkomplikasi.

cinta sembunyi-sembunyi itu:
euphoria
erotika
menakutngeri
mengkomplikasi.

this is an entry of the confessing voices out there living with lies. deceit will not bring you anywhere, believe you me.

Wednesday, February 20, 2008

terlambat

simpan saja nafas kamu,
maaf aku sudah mahu melangkah.
sudah terlewat.
kamu terlambat.

pulang kembali bintang biru,
maaf aku sudah mula menongkah.
sudah terlewat.
kamu terlambat.

mungkin andai kau hulurkan semalam,
pasak kaki takkan berganjak.
mungkin andai kau tidak sekejam,
tegap masih takkan gejolak.

sudah terlewat.
kamu terlambat.
ku mahu kuat.
ku harus kuat.

hati ini sudah aku tiupkan di tepi dermaga.
semoga berlabuh di negeri China.

when i want to move on, let me. it would be hard, but just let me.

Thursday, February 14, 2008

masih ingatkah?

masih ingatkah
kala kita memeluk langit
sedang hati memaut indah
pada ikatan mata yang begitu bererti.

masih ingatkah
kala engkau mendodoi kata
sedang bibir terkunci bisu
pada bualan yang hanya jiwa memahami.

masih ingatkah
kala aku menyandar cinta
sedang tubuh terkaku keras
pada ungkapan yang didiamkan di hati.

masih ingatkah
kala janji tak mahu dilafaz
sedang rasa meronta mahu dikhabarkan
pada apa yang kita tahu adalah suci.

masih ingatkah?
kerana hanya itu yang bisa jadi,
untuk diingat.
hanya untuk diingat.

it could be the greatest love story ever told. it could...

baru semalam

baru semalam aku hujankan hati yang keras
dengan air cinta kamu yang memberi dingin.

baru semalam aku biolakan tangis yang deras
dengan mata ceria kamu yang memberi angin.

baru semalam segala bermula satu persatunya
baru semalam setiap lafazmu berbait cinta segala.

baru semalam,
dan kau siatkan semua memperca.

baru tadi,
bila kau katakan terang yang aku buta.

wake up wake up wake up. he never loved you anyways, fool!!

Wednesday, February 13, 2008

cinta

betapa cinta itu fatamorgana.

bayangnya ada;
tapi siapa pernah memegangnya?

Sunday, February 10, 2008

adik kecilku dan bunga apinya.

tidak pernah suka pada kilau percik api berdentum,
langsung benci pada keriuhan pesta ria ramai,
tapi terpandang adik kecilku yang tercopong kagum,
terberhenti sang masa dan mataku mula renyai.

betapa dia tidak mengerti,
betapa dia terlalu suci,
tuhan, perliharakan,
semoga kau lindungkan.

tidak pernah suka bunga api,
langsung benci berasak-gasak,
tapi untuk senyum kekeh tadi,
kukuh teguh aku berdiri terpacak.

betapa dunia terlalu keji,
betapa dunia tidak peduli,
tuhan, tolong kasihan,
semoga kau bisa jagakan.

it is amazing how we can sacrifice the whole principle thing just for the sake of that little smile of the one you love. god, keep an eye on my lil girl, please.

Thursday, February 07, 2008

satu hari bersama saya

pagi tidak bicara,
terbit senyap saja,
terang sudah gelita,
tapi tidak saya.

siang kicau tiada,
padang sunyi ketawa,
embun kering sendiri,
di sini duduk saya.

langit sudah jingga,
petang makin tua,
bunga sedang merecup,
begitu juga saya.

malam jangan lari,
tunggu, mari bersama,
bual rasa semua,
teman sahaja saya.

empty.

Tuesday, February 05, 2008

hello, gadis.

hello,
kenapa menangis?
kamu sedihkah?
kamu dikejami?

hello,
kenapa, gadis?
kamu dimarah?
kamu dikeji?

hello,
ini tangan saya,
letakkan hatimu,
saya simpankan.

kamu gadis yang tidak diadilkan,
mari ke sini, jeritkan dan luahkan,
andai dunia ketawa dan memanggilmu gila,
saya akan menjerit sekali bersama-sama.

this is for you out there, feeling miserable and lost. shout with me, scream out, you will be safe here. this piece is especially to you, you know who u are.

Monday, February 04, 2008

hujan aku, suria aku, bulan aku, ribut aku.

rupanya hujan tak pernah menangis kerna kasihankan aku
suria tak pernah ketawa semata menceriakan duniaku
baru ku tahu bulan tak pernah muncul demi menemanku
ribut tak pernah menerkam hanya untuk dendam marahku.

rupanya aku ini orang-orang biasa sahaja
aku bukan lindungan awan dibelai manja
baru ku sedar aku ini tiada istimewanya
betapa bodoh menganggap diri bertakhta.

bergolek-golek juga bumi bila aku tiada
tetap berlari sang angin walau tak aku bersama
sungai berkolek tak perlu aku mengempangjaga
lesap aku nanti pastinya berganti dua tiga.

payah benar menelan hakiki kebenaran
aku ini hidup dalam dongeng anganan
tidak aku tidak langsung memutar dunia
maka diterbangkitkan, terbeliak kini mata.

rupanya hujan, suria, bulan, ribut semua
tidaklah mereka bercanggung semata saya
seperti kamu yang kuanggap buat aku--
hujan aku, suria aku, bulan aku, ribut aku.

this is a piece to talk about how reality bites. sometimes you see yourself too high, that you fail to notice you are no special at all. ouch.

Friday, February 01, 2008

cinta darjah satu

pada satu hari,
saya lihat sebiji bola permainan,
di dalam kedai.
--harganya mahal.

sepanjang hari,
selama sebulan saya makan nasi bekalan,
menjadi pokai.
--nekad beli sebelum terjual.

setiap hari,
saya nampak awak sangat mahukan itu,
curi-curi lihat.
--saya tahu awak suka.

di satu hari,
saya akan beli bola mainan itu untukmu,
jadi boleh duduk dekat.
--sebab saya suka.

pada satu hari,
duit cukup, saya beli, terus beri,
awak sangat gembira.
--saya lagi bahagia.

tapi hari ini,
bola permainan itu awak telah kasi
pada jiran perempuan awak.
--kenapa.

cinta itu kejam, bila kamu perempuan biasa-biasa. tak layak diberi pada yang jelita2 kerana mereka tidak mengerti peritnya menjaja diri. cinta itu tidak adil untuk orang macam kita-kita.

Thursday, January 31, 2008

puisi bunda

tika bulan sudah mula menyelimutkan dirinya
anak itu mengambil selimut dan menutupkan matanya

tika bintang sudah belari tidak mahu menari-nari
anak kecil itu melihat dan bermain dengan jari-jari

tika bulan itu mula tersenyum padanya
anak kecil itu bertanya, “hey bulan, aku sudah gila?”

tika bintang-bintang mula mau bernyanyi-nyanyi
anak kecil itu bertanya, “kenapa ibu harus pergi?”

pernahkah kamu rasakan ketiadaan seseorang yang kamu mahukan?
pernahkah kamu rasakan keberadaan yang tidak pernah kamu rasakan?
pernahkah kamu tahu akan hancurnya jiwa jika tiada?
pernahkah kamu rasa bila bonda kamu tiada?

lagu ini buat bunda aku yang sudah pergi 13 tahun dulu
di bulan Januari, 15hb di pagi itu

bunda, aku bencikan kamu
bunda, aku benci kamu untuk ku panggil ibu

aku di kala kecil tiada siapa
aku di kala kecil ditinggal bersama bapa
wahai bunda
wahai bunda
mengapa harus kamu tiada?

tahukah kamu akan rasa sayu bila lihatkan orang lain bersama ibu?
tahukah kamu akan hancurnya hati bila kau tengking sang ibu itu?
pernahkah kamu rasakan bunda itu sesuatu yg menyusahkan?
pernahkah kamu rasakan sang bunda itu seorang yang kau bencikan?

di satu hari nanti bunda itu akan pergi
entahkan bilakan yang di hari itu nanti, bunda kamu akan pergi

oh bunda, ku benci kamu bunda
ku ditinggalkan bersama sang bapa

tahukan kamu belaian ayah itu lain dari belaian sang ibu?
tahukah kamu walau selembut mana kata-kata sang ayah itu tidak akan sama dengan bonda kamu?

rasa yang kamu rasa
rasa yang kamu minta
tidak sama dari air tangan sang ibu
maka sayangi ibumu

oh bunda
oh bunda
ku benci kamu bunda
kau tinggalkan diriku sendiri bersama bapa

oh bunda
oh bunda
oh bunda
mengapa?

jangan silap tafsirkan
aku di sini bukan menyoalkan tuhan
cuma aku persoalkan kenapa aku?
kenapa di saat itu?
di waktu aku paling memerlukan

oh bunda
oh bunda
oh bunda
dikau tinggalkan diriku sendirian meminta2

oh bunda
oh bunda
mengapa kau tinggalkan ku sendirian, oh bunda?

oh bonda
oh bunda
oh bunda

13 tahun itu terlalu jauh, bunda
ku tak tahu kau di atas, di bawah, di kiri, di kanan, di mana-mana

tapi kalaulah di sekelimpas itu kau terpandangkan anakmu ini bunda
bisikkan pada bayu katakan yang kau cinta

oh bunda
oh bunda
oh bunda
mengapa kau tinggalkan ku di saat ku meminta bunda, oh..¬

oh bunda.
oh bunda.

view it here. first gig with Tongkat. i wish i can say miss my mom, but fact is, i cant remember her much. *sigh*

Wednesday, January 30, 2008

tolong aku

tuhan,
kuatkan aku.

jiwa aku mendebu ke langit,
tolong aku.

gadis bijak yang disampahkan

jika kau tak izinkan aku menjahit tubuhmu pada aku,
sila beredar.
andai kau tak relakan aku menyimpan bulan dibilikmu,
sila keluar.

jika kau tak kalihkan aku memejamkan matamu tiap waktu,
sila pergi.
andai kau tak redhakan aku merangkulmu tanpa jemu,
sila mengerti --

rasa posesi ini bukan semata buta-buta,
rasa milikan ini bukan semata dusta-dusta.

silapkah cemburu?
salahkah cintakan kamu?
bodohkah keyakinanku?
apakah aku tak malu?

tersiat-siat seperti kertas dikoyak-koyak
walau sekadar embun menyentuh jarak,
disiang-siang seolah ikan dipotong-potong
meski hanya angin menghembus kosong.

mengapa kenapa?
mengapa saya?

aku takut dilupakan, kerana itu.
aku takut hilang, persis dahulu.

kewujudan yang tidak lain tahu.
keberadaan yang sentiasa dikelambu.

tuhan, padamkan cinta aku pada manusia,
kerana ia menyiksa aku.

tuhan, yakinkan aku, dzat aku ini tak sepenting mana,
yang ku kononkan pada jiwaku.

aku ini perempuan,
sebijak mana pun aku,
harus menjaja menjual cinta.

i am in my destructive mood again. help me god.

Saturday, January 26, 2008

semata kerana zuriat kita.

menggetap bibir, mengilukan gigi
mencakar batin, memekik kelam.
hati ini terobek dikunyah engkau,
apa tak cukup jiwa ku suap semalam?

kaki engkau sudah menetap di badan
yang selalu singgah bila kau rasa
nyawa ini terpenyek dihenyak engkau,
apa tak cukup jiwa kau siksa?

telinga masih tegar memberi senyum
pada caci dan bahasa-bahasa babi
tangan ini masih aku depangkan
apa tak cukup jiwa yang telah ku kasi?

jika tidak kerana anak, tidak aku tegak
memasak kaki, mempamer gagah
kudrat ini masih berbaki, tetap sahaja
apa tak cukup jiwa yang aku serah?

ku suap jiwa
kau siksa pula
ku tetap kasi
ku serah lagi

tidaklah kerana cinta
semata kerana mereka
zuriat kita.

a man who practice domestic violence are pigs, and they are the ones who are afraid. big bullies are always the pathetic ones.

Thursday, January 24, 2008

seperti kami

jelita
tapi bangkai baunya
magnifisi
namun berulat isi

semua mendongak
semua ditempelak
semua memberi salut
semua kau jerut

dengan bibir delima itu
kau suap fantasi sempurna
dengan gemalai lenggokmu
kau hulur bayang nista

kamu adalah dewi yang berbohong
tentang jiwa kamu yang sebenarnya kosong
kamu provokasi mencari mata dunia
kerana mahu sembunyi kamu siapa

jelita
tapi bangkai baunya
magnifisi
namun berulat isi

di pekat malam
kamu sendiri
mencari erti
mencari diri

kerana kamu tahu
kamu sebnarnya membosankan
persis kami.
seperti kami.

dear natasha hudson. this is for you. shame shame shame.

Wednesday, January 23, 2008

lampu tidur

lampu tidur,
bicarakan sejujurnya
pada dia

lampu tidur,
malam terlalu gelita
tanpa dia

takkah dia tahu
aku celaru

apa dia lupa
pada janjinya?

lampu tidur,
tidurku tiada makna
takkan lena

lampu tidur,
bilakah akan ada
suara dia

takkah dia tahu
aku celaru

apa dia lupa
pada janjinya?

lampu tidur,
hanya cinta hatiku
menenang pilu

suaranya
dan petikan sang gitarnya
membelai nyawa...ku

this is the feeling you have when you are too accustomed to a routine, that having a day without, would make you incomplete and crazy. another lyric made for zac komplot. for a movie soundtrack. wait for it: aku, luna & lampu. coming to you in 2009. insyaAllah

Sunday, January 20, 2008

puisi buat ayahanda

ayah
kita memang tak pernah berkawan baik
bila kita senyum, terasa pelik

ayah
kadang-kadang yang keluar, yang aku rasakan
tidak sama dengan apa yang aku katakan

kita semakin jauh bila bunda tiada
bunda pergi tinggalkan kita waktu kita paling tidak terasa

oh¬
puisi buat ayahanda
lagu cinta buat ayahanda

kita bukannya orang yang paling rapat dalam dunia, ayah
rasa dalam jiwa ini kadang-kadang ada masanya goyah

semenjak bunda pergi kamu kuncikan diri itu
padahal di masa itu waktu aku paling perlu

oh¬
puisi buatmu ayahanda
lagu cinta untuk ayahanda

di setiap waktu itu selama 13 tahun tiada ibu
kau bersembunyi di belakang pintu
memanggil-manggil nama ibu

aku dengar ayah, aku rasa
perginya ibu mmg tidak adil, tapi kita harus biasa!

puisi buatmu ayahanda
lagu cinta buat ayahanda

maaf, ayah
ada satu waktu itu yang mana aku pula menjauhkan diri dari kamu
aku rangkul teman-teman
aku benci sama kamu
aku baling semua itu
aku pergi pada kawanku

kemudian aku katakan:
"ayah, kamu takkan faham apa aku rasa"
"ayah, apa yang aku ada di dalam ini semuanya kerana kamu tidak reti menjaga"

aku lemparkan kata2 nista buat ayahanda

bersorak bergempita syaitan-syaitan di tepi tangga
mengatakan "tahniah! tahniah buatmu juga"

puisi buatmu ayahanda
lagu cinta buat ayahanda

kemudian di satu hari itu, jika kamu tau
dan jika kamu mau tau
di satu malam pekat aku keluar dari rumah
tanpa sesiapa yang melihat

lari
bagai pengecut
aku lari

lari dari cinta ayahanda
lari dari segala
lari dari segala-galanya
kerna ku alpa

ku kata semua salah ayahanda

ku rangkul teman2 ku kembali
ku pergi sana sini
ku berpesta joli
ku suka
ke sana ke sini bersama semua
semua gila

kemudian ku pikir kembali
siapa memegang aku di saat ku jatuh

ku biarkan semua rasa di dalam diriku ini
dan semua rasanya tersimpan dan berbudi

oh ayahanda
oh ayahanda
oh ayahanda
oh ayahanda

berada di kejauhan itu mmg tenang
bersama kawan-kawan mmg senang
bersama semua orang memang senang

tapi di waktu pekat malam
siapa ada untuk mengatakan rasa cinta
siapa ada untuk mengatakan
"anakanda kamu milik ayahanda"
"anakanda kamu milik ayahanda"
"anakanda kamu milik ayahanda"

ah!

aku katakan
aku mau pulang, ini bukan dunia aku!
aku mau pulang, ayah!
mau pulang pada kamu!

aku mau pulang, ayah!
aku mau pulang!

kembalikan!
kembalikan ayahanda!

oh! ayahanda!
ku mau pulang pada ayahanda
di sini cintamu tiada
di sini cinta tiada

cuma orang-orang yang beramai-ramai
tapi di dalam hatiku sungguh berdamai
dengan hanya memikirkan ayahanda

ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang pada ayahanda

ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang
ku mau pulang pada ayahanda

oh!

have u ever feel so fed up that u leave everything behind? and that leaving is not the answer of your inclompleteness? that you wish you would just come back home and say, this life is just enough for me. enough. love your family, whole they're there. thank you tongkat, for the wonderful music. for video, click here.

Saturday, January 12, 2008

balada jiwa perempuan gila

kata orang, penulis-penulis itu orang gila
kata orang, orang yang seni itu kepalanya tiada
kata orang, kalai kita fikir terlalu jauh, kita kritikal
kata orang, fynn jamal orang sebal

jadi soalan aku kenapa kau masih lagi di situ, sayang?
sedang kau tau hati aku ini memangnya begitu perit, begitu kelit

kau tau bila aku bencikan sesuatu itu akan aku katakan dengan bahasa yang sepedas-pedasnya
kau tau di setiap kemarahan itu aku hamburkan segala nista
kau tau bila aku benci akan aku katakan terus pada mata itu
kau tau bila aku marah aku akan ludah, aku akan katakan "berambuslah!"
dan aku orang gila yang cintakan dunianya

jauhlah!
kau sudah tau aku ini perempuan gila
pergilah!
kau sudah tau aku ini orangnya akal tiada
kerana aku ini bila sudah sayang
aku akan pegang
aku akan rangkul
aku akan pikul

maka janganlah kau katakan:
"hey sayang, mengapa tidak mengertikan?"
"wahai sayang, kenapa begini?"
"wahai sayang, kenapa begitu?"
"wahai sayang, kekadang kau gila!"

dan seperti biasa aku akan katakan:
"aku memang gila sayang, aku ini gilakan kamu.
hey sayang, mengertilah,
aku tidak reti untuk menjaga hati itu
kerna yang ku rasakan ini hanya orang gila yang tahu"

dan di waktu itu ku rasakan kemarahan
di dalam jiwa
di dalam rasa
di dalam jiwa
di dalam rasa

maka biarkan aku di tempat itu
mengambil pisau mengerat tangan
kerana aku yang tak tertahan di dalam hatiku, wahai kawan.

ku hanya berada di dunia ini
dengan rasa gila, rasa sendiri
tiada mengerti, siapa yang tahu
kenapa di sini, kenapa kamu berubah
berubah.
berubah.
berubah.

dulu kau katakan kegilaan ini suatu yang kau sukakan
tapi mengapa sekarang ini tidak lagi kau suka
lagi terasa jiwa ini ku gila
berambuslah.. (sedarlah)
berambuslah. (sedarlah)
berambuslah! (sedarlah)

aku di sini masih yang dulu
masih si gila
masih si dungu

tetapi engkau sudah berubah
sedarlah oh sedarlah
siapa yang gila, siapa puncanya
mengapa ini terjadi juga

dulu kau kata aku 'ni gila tapi kau suka
sekarang pula kau kata aku si perempuan gila
dan kau katakan "mengapa pula"

aku risau
aku risau sendiri

oh.
biarkan darah ini mengalir
membawa rasa jiwa yang pedih
biarkah darah merah mengalir.

this piece is about someone who has given up on abusive love: mentally destructing love. if you are in one, get out from that place. in any ways, just flee! video is up: here.

kisah cinta di tempat itu

mau bicara tentang apa, ya?
tentang hati yang sudah hancur?
mungkin tentang kejauhan yang aku rasakan dalam diri ini.

mau bilang tentang apa, ya?
mungkin tentang cinta yang tak kesampaian.

oh.

semalam ketika aku berjalan untuk pergi ke tempat itu
tempat di mana kita berpegangan tangan kali pertama pada malam itu
dengan penuh rasa sentimental hatiku berkata:

"hey, jiwa,
kau nampak tak pandangan dia?"

di tempat itu kau pegang tanganku
di tempat itu kau belaikan cintaku
tapi di hari itu kau berada di tempat itu bersama teman baru

aku mulanya tak mau tunjukkan diri aku di depan muka kamu
tapi kerana kehancuran jiwa ini melihatkan tangan kamu pada tangannya
wajahmu yang memandang dia
pandangan itu sebenarnya 'tuk siapa?

dulu kau katakan senyum itu milik aku
dulu kau katakan tangan itu milik aku
dulu kau katakan setiap langkahmu kau akan mengingatkan aku
dulu kau katakan cintamu milik aku

tapi di tempat itu kau pegang tangannya kau lafazkan cinta
di tempat itu kau petik bintang & kau kau hulurkan pada jarinya
jari itu bukan milik saya
jari itu bukannya milik saya

sayang, dulu kau pernah janjikan bulan itu kau akan beri pada pada aku
dan pernah juga aku gantungkan bulan itu di dalam bilik
setiap malam ku pandang
setiap malam ku lihatkan
setiap malam ku raungkan
setiap malam ku ceritakan
setiap malam ku katakan:

"hey, bulan,
cintaku hanyalah kepadanya"

tapi sekarang tanganmu pada siapa
hancur hatiku, sayang, melihat kau di situ
hancur hatiku, sayang, melihat janji-janji kamu

hancur hariku, sayang.
hancur hatiku.
hancur hatiku.

hancur hatiku melihat dia bersama kamu
di tempat itu, ditempat kita itu

mengapa, sayang?
mengapa, cinta?
mengapa, kasih?
mengapa segala cinta kita kau rosakkan dan binasa?

kenapa.
kenapa.
kenapa.
di banyak-banyak tempat
di tempat itu juga?

janji yang sama
kisah yang sama
senyum yang sama
mata yang sama
pegang yang sama
rangkul yang sama
semua itu milik siapa?

milik siapa?
milik siapa?
milik siapa?

milik saya...




a gig with tongkat in mcpa hall last new year. great poetry fighters. for video, click here. PLEASE! like always, feel!

Thursday, January 03, 2008

operasi berahi mati

mari, mata!
kita geselkan berahi alis kamu
yang hitam pekat likat bersaduran
ke pandangan sang dia itu.


mari, jemari!
kita lentikkan ketisan kuku
yang halus runcing pancing meliurkan
ke fantasi jiwa sang dia itu.


mari, kaki!
kita hayunkan gemalai bayu
yang tegang tegap mantap menyiksakan
ke seriau tengkuk sang dia itu.


mari, jiwa!
kita buaikan cinta nan palsu
yang ditabur terhambur berteraburan
ke minda waras sang dia itu.


seperti kita
-digeselkan
-dilentikkan
-dihayunkan
-dibuaikan
suatu masa dulu.

sang dia harus beri bayaran
hutang menjadi lelaki
yang kita pernah lunaskan
hingga kini masih berbaki.


are all men the same? are all women victim? at all case, one's mistake is always for another to pay. isnt it stupid?